KUCHING: Sarawak akan mula membangunkan sistem grid air negeri menjelang tahun 2025 untuk membolehkan negeri ini mengurus bekalan air dengan berkesan kepada rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli berkata, projek takungan air aras tinggi di Matang dan pemasangan paip merupakan sebahagian dalam Program Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri.
Program Grid Bekalan Air Sarawak itu bagi menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh, katanya pada majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah Bahagian Kuching di sini.
Awang Tengah menyerahkan 32 cek pampasan tanah bagi projek ‘Matang High-Level Reservior dan Associated Pipelines to Improve Water Supply to Northern Kuching Areas’ bagi Fasa 1 kepada 24 penerima berjumlah RM19,165,836.40.
Beliau berkata, kerajaan secara keseluruhan membelanjakan RM24.6 juta untuk kos pengambilan balik tanah.
Projek bekalan air yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat dan projek takungan air aras tinggi di Matang dan pemasangan paip itu melibatkan pembinaan dan penyiapan tangki air dengan kapasiti 100 mililiter (ml), takungan air No.2 dengan kapasiti 9ml, naik taraf stesen pam penggalak di Matang dan Batu Kitang WTP, sistem perpaipan dan kerja-kerja berkaitan, katanya.
Projek itu, tambahnya, dirancang dengan teliti bagi menampung permintaan bekalan air semakin meningkat di Bahagian Kuching khususnya di kawasan Kuching utara terutama di Santubong, Buntal, Bandar Baru Semariang, Petra Jaya, Kampung Rampangi, Pasir Pandak, Demak Laut, Kampung Bako, Muara Tebas dan Pelabuhan Senari.
“Projek seperti ini jelas akan memberi manfaat kepada rakyat. Ini membuktikan bahawa segala yang telah dirancang Kerajaan Sarawak pasti dilaksana demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat,” kata Awang Tengah.
Di samping menambah baik sistem bekalan air sedia ada, beliau berkata, projek itu juga dijangka melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengulangi bahawa kerajaan tidak mengambil tanah secara percuma sebaliknya tanah yang diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian dari Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS), katanya dan menambah, kadar pampasan itu dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman, struktur binaan dan saiz tanah mengikut nilai semasa.
Sumber dari : Jiwa Bakti